Thursday, 7 April 2016

SEJARAH SK KAMPONG PARIT



Sekolah Kebangsaan Kampong Parit telah diasaskan oleh seorang anak tempatan yang dikenali sebagai Yang Mulia Dato’ Ismail  binDato’ Laksamana Manat. Sekolah ini telah dibina dalam tahun 1915 di atas sebidang tanah miliknya yang terletak di pinggiran jalanraya Kuala Pilah-Seremban.Ia dibina dalam zaman penjajahan Inggeris secara bergotong-royong oleh masyarakat setempat. Bangunan asalnya beratapkan rumbia dan berdindingkan pelupuh (buluh yang dianyam).

Dato’ Ismail menubuhkan sekolah ini yang dikhaskan untuk murid-murid perempuan tempatan memandangkan pada masa itu di Kuala Pilah hanya ada sebuah sekolah yang dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja.Sekolah ini dinamakan Sekolah Perempuan Kampong Parit.Pada masa itu Dato’ Ismail bertugas dengan kerajaan British di Pejabat Tanah Daerah Kuala Pilah sebagai Penolong Pegawai Daerah. Beliau juga diberi gelaran Dato’ Pengaman dan diberi kuasa membicarakan kes di mahkamah.Beliau meninggal dunia pada tahun 1959.

Memandangkan sekolah ini terletak di pinggir jalanraya di atas tanah yang sempit sedangkan muridnya semakin bertambah ramai, Dato’ Ismail telah memohon daripada Puan Hajah Mariam binti Panjang sebidang tanah miliknya untuk dijadikan tapak baru sekolah ini.Puan Hajah Mariam telah bermurah hati untuk mewakafkan sebidang tanah miliknya seluas 39 pole (3/4 ekar) untuk mendirikan sekolah baru iaitu pada tahun 1920 dengan cara bergotong-royong juga. Murid-murid telah dipindahkan ke sekolah baru ini dalam tahun 1922.Sekolah ini hanya mula menerima murid lelaki dalam tahun 1960an.

No comments:

Post a Comment